Jumaat, 6 Mei 2011

BERBALAS PANTUN DI ANTARA DUA RAKAN (AHMAD DAN MUSA)

AHMAD:
Rumah kedai bertingkap kaca
Dibina oleh kontraktor tempatan
Dapat maklumat dengan membaca
Baru terbantut rancangan syaitan

MUSA:
Pergi kebun tanam rambutan
Tumbuh juga daun pegaga
Musuh manusia ialah syaitan
Dengan ilmu bimbinglah keluarga

AHMAD:
Daun pegaga mudah tumbuh
Perlu hanya tanah biasa
Bila ramai solat subuh
Imamnya pula orang berkuasa

MUSA:
Bulan Ramadhan umat berpuasa
Memasang niat di waktu malam
Bila beriman sang penguasa
Baru nampak keindahan Islam

AHMAD:
Kelawar keluar di waktu malam
Tidur di gua di siang hari
Bangunlah wahai umat Islam
Dengan ilmu terpeliharalah diri

MUSA:

Ikan yu ikan pari
Dua jenis ikan laut
Bila keredhaan Allah dicari
Seruan jihad pasti disahut

AHMAD:
Laut Merah Laut Mati
Terletak di negara timur tengah
Ketuanan Melayu tidak bererti
Jika kuliah Maghrib ditegah

MUSA:
Makan roti berinti kaya
Kebiasaan semasa bersarapan pagi
Orang beriman di akhirat berjaya
Manakala munafik tetap rugi


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Jamadilakhir1432/Mei2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan