Khamis, 1 April 2010

PANTUN SLOGAN KOSONG

Pergi ke sawah mencari kangkung
Dapat pula daun pegaga
Orang Melayu bebas sokong
Asalkan di akhirat masuk syurga

Dapat pula daun pegaga
Bila makan dijadikan ulam
Asalkan di akhirat masuk syurga
Syaratnya mati dalam Islam

Bila makan dijadikan ulam
Dimakan dengan sambal tempoyak
Syaratnya mati dalam Islam
Rintangan adalah terlalu banyak

Dimakan dengan sambal tempoyak
Gulainya pula ikan tenggiri
Rintangan adalah terlalu banyak
Keredhaan Allah saja dicari


Gulainya pula ikan tenggiri
Baru dibeli di pasar malam
Keredhaan Allah saja dicari
Menjadi matlamat pejuang Islam

Baru dibeli di pasar malam
Bersama mempelam harum manis
Menjadi matlamat pejuang Islam
Menggunakan taklik pelbagai jenis


Bersama mempelam harum manis
Boleh didapati di negeri Perlis
Menggunakan taklik pelbagai jenis
Berpuisi serta aktif menulis

Boleh didapati di negeri Perlis
Datang pelancong terus membeli
Berpuisi serta aktif menulis
Terkenal karya imam Ghazali

Datang pelancong terus membeli
Hasil usaha anak tempatan
Terkenal karya imam Ghazali
Zikir hariannya jadi ikutan



Hasil usaha anak tempatan
Dijual juga air gamat
Zikir hariannya jadi ikutan
Berfaedah hingga hari kiamat

Dijual juga air gamat
Dalam botol minyak urut
Berfaedah hingga hari kiamat
Bila menolak ajaran karut

Dalam botol minyak urut
Boleh digunakan selepas sukan
Bila menolak ajaran karut
Termasuk slogan bukan bukan


Boleh digunakan selepas sukan
Didalam dan luar negeri
Termasuk slogan bukan bukan
Contoh terbaik Islam Hadhari

Didalam dan luar negeri
Guna slogan untuk menipu
Contoh terbaik Islam Hadhari
Ditinggalkan saja para pengampu


Guna slogan untuk menipu
Disebar luas media massa
Ditinggalkan saja para pengampu
Bila penganjurnya hilang kuasa

Disebar luas media massa
Tertawan manusia berotak kalkatu
Bila penganjurnya hilang kuasa
Menyembah bos baru hantu-hantu

Dideklamasikan selepas kuliah maghrib Ust Wan di Surau Madah Fasa 1A Seri Manjung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan