Rabu, 17 September 2014

PANTUN IBLIS KECEWA


Memburu rusa pergi ke hutan
Dapat seekor kijang betina
Mari kuatkan tali persahabatan
Dengan aqidah masyarakat dibina

Dapat seekor kijang betina
Bila disembelih daging diagih-agihkan
Dengan aqidah masyarakat dibina
Ilmu pengetahuan perlu diajarkan

Bila disembelih daging diagih-agihkan
Bawa ke rumah masak kari
Ilmu pengetahuan perlu diajarkan
Baru rakyat boleh berdikari

Bawa ke rumah masak kari
Makan tengahari bersama keluarga
Baru rakyat boleh berdikari
Akhlak mereka senang dijaga

Makan tengahari bersama keluarga
Masuk Zohor solat berjemaah
Akhlak mereka senang dijaga
Bila pimpinan di atas bermaruah

Masuk Zohor solat berjemaah
Seorang Hafiz jadi Imam
Bila pimpinan di atas bermaruah
Gerombolan asobiyah akan tergamam

Seorang Hafiz jadi Imam
Diadakan tazkirah selepas solat
Gerombolan asobiyah akan tergamam
Terhapus peluang untuk mengelat

Diadakan tazkirah selepas solat
Ada yang membaca Quran
Terhapus peluang untuk mengelat
Bertaubat bila ada pelajaran

Ada yang membaca Quran
Baik juga baca terjemahannya
Bertaubat bila ada pelajaran
Memajukan diri supaya berjaya

Baik juga baca terjemahannya
Ada dalam berbagai bahasa
Memajukan diri supaya berjaya
Dengan belajar sepanjang masa

Ada dalam berbagai bahasa
Diminati ramai bahasa Inggeris
Dengan belajar sepanjang masa
Agen iblis hati terguris

Diminati ramai bahasa Inggeris
Bahasa rasmi di Amerika Syarikat
Agen iblis hati terguris
Melihat umat Islam berpakat.


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan