Jumaat, 23 Julai 2010

PANTUN MI-KARI

Tanam pisang di tepi pagar
Bila berbuah boleh ditebang
Perintah Allah jangan langgar
Berzikir baik dari bersembang

Dalam pagar rumput tumbuh
Susah kambing hendak masuk
Berjemaah bila solat Subuh
Beruntung yang sentiasa khusyuk

Tumbuh lalang di tepi perigi
Setiap bulan perlu dipotong
Orang munafik di akhirat rugi
Semasa di dunia pandai kelentong

Orang kaya menaiki kereta
Pergi ke masjid setiap pagi
Peminat mi-kari bercita-cita
Habis semangkuk hendak lagi

Kereta ada pelbagai jenis
Ada buatan dalam negeri
Air serbat terasa manis
Setelah selesai makan mi-kari

Ikan pelata ikan pari
Ditangkap dengan menggunakan pukat
Selepas mengaji makan mi-kari
Tukang masaknya terbukti berbakat

Tanam serai tanam halia
Tanam pula di bulan puasa
Tukang masak kerja mulia
Kurang bercakap banyak pahala

Di tepi pantai dikutip kerang
Bila direbus boleh dimakan
Setakat ini pantun dikarang
Semoga pendengar dapat kebaikan


HMS Abu Bakar
20 Jamadilawal 1431H
5-5-2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan