Selasa, 7 Disember 2010

PANTUN HIJRAH 1432



Setiap minggu diganti cadar
Warnanya putih dan merah
Masa cukup cepat beredar
Bermula tahun baru hijrah

Warnanya putih dan merah
Mudah kelihatan dari jauh
Bermula tahun baru hijrah
Semoga iman bertambah teguh

Mudah kelihatan daripada jauh
Gunung Tahan di negeri Pahang
Semoga iman bertambah teguh
Jauhi yang Allah larang

Gunung Tahan di negeri Pahang
Negeri terbesar di Tanah Melayu
Jauhi yang Allah larang
Tersemat dalam kitab wahyu

Negeri terbesar di Tanah Melayu
Terpasak kuat Banjaran Titiwangsa
Tersemat dalam kitab wahyu
Boleh digunakan sepanjang masa

Terpasak kuat Banjaran Titiwangsa
Dikelilingi pokok warna hujau
Boleh digunakan sepanjang masa
Itulah masjid atau surau

Di kelilingi pokok warna hijau
Didapati juga sarang lebah
Itulah masjid atau surah
Tempat manusia menghadap Kaabah

Didapati juga sarang lebah
Menghasilkan madu yang berharga
Tempat manusia menghadap Kaabah
Semoga di akhirat masuk syurga

Menghasilkan madu yang berharga
Bila dimakan sihatlah badan
Semoga di akhirat masuk syurga
Daripada Nabi ambillah teladan

Bila dimakan sihatlah badan
Mudah mencari keredhan Allah
Daripada Nabi ambillah teladan
Boleh selesai banyak masalah

Mudah mencari keredhaan Allah
Bila selalu muhasabah diri
Boleh selesai banyak masalah
Dengan kasih sayang suami isteri

Bila selalu muhasabah diri
Dapat mengenal pasti masalah
Dengan kasih sayang suami isteri
Sebulan sekali pergi berkelah

Dapat mengenal pasti masalah
Baik jasmani atau rohani
Sebulan sekali pergi berkelah
Boleh mewujudkan masyarakat madani

Baik jasmani atau rohani
Berdasarkan kebenaran ajaran agama
Boleh mewujudkan masyarakat madani
Hijrah Nabi rujukan utama

Berdasarkan kebenaran ajaran agama
Bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah
Hijrah Nabi rujukan utama
Lahir pemimpin yang beramanah


HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Muharram1432/Dis2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan