Rabu, 7 Oktober 2015

PANTUN TERPAKSA BERHUTANG

Pucuk ulam sayur keladi
Lemak turi ulam pudina
Kepada kroni-kroni terus berbudi
Nasib orang kampung hina

Lemak turi ulam pudina
Makan di dangau di tepi sawah
Nasib orang kampung hina
Golongan korporat hidup mewah

Makan di dangau di tepi sawah
Masuk zohor terus sembahyang
Golongan korporat hidup mewah
Pimpinan rasuah mereka sayang

Masuk zohor terus sembahyang
Berdoa supaya padi menjadi
Pimpinan rasuah mereka sayang
Semasa pilihanraya beri undi

Berdoa supaya padi menjadi
Bila dijual dapat duit
Semasa pilihanraya beri undi
Dalam T.V kebaikan diungkit

Bila dijual dapat duit
Boleh beli keperluan hidup
Dalam T.V kebaikan diungkit
Hisap rokok yang diseludup

Boleh beli keperluan hidup
Bila kurang kena berhutang
Hisap rokok yang diseludup
Sakit jantung mudah datang

Bila kurang kena berhutang
Biasa bagi penanam padi
Sakit jantung mudah datang
Mengharapkan dermawan akan berbudi

Biasa bagi penanam padi
Kais pagi makan pagi
Mengharapkan dermawan akan berbudi
Nasib rakyat sentiasa rugi

Kais pagi makan pagi
Kos kehidupan terus meningkat
Nasib rakyat sentiasa rugi
Mahu berubah kenalah berpakat

Kos kehidupan terus meningkat
Kroni pemerintah dapat kemudahan
Mahu berubah kenalah berpakat
Buat suruhan tinggalkan tegahan

Kroni pemerintah dapat kemudahan
Rakyat bawahan dijadikan alat
Buat suruhan tinggalkan tegahan
Berjemaah pula bila bersolat


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan