Ahad, 20 Jun 2010

PANTUN HARI BAPA

Pergi ke kebun mengait kelapa
Kelapa muda manis airnya
Dua puluh Jun Hari Bapa
Mari sama-sama meraikannya

Kelapa muda manis airnya
Isinya lembut sedap dimakan
Mari sama-sama meraikannya
Hari Bapa sedang diraikan

Isinya lembut sedap dimakan
Yang tua mengeluarkan santan
Hari Bapa sedang diraikan
Jasanya tetap dalam ingatan

Yang tua mengeluarkan santan
Boleh masak gulai lemak
Jasanya tetap dalam ingatan
Bersama membantu ialah Emak

Boleh masak gulai lemak
Ikan laut atau darat
Bersama membantu ialah Emak
Membesarkan anak penuh kudrat

Ikan laut atau darat
Menjadi sumber makanan manusia
Membesarkan anak penuh kudrat
Supaya hidup tidak sia-sia

Menjadi sumber makanan manusia
Dari laut dan daratan
Supaya hidup tidak sia-sia
Sekali kali jangan ikut syaitan

Dari laut dan daratan
Didapati banyak nikmat Allah
Sekali kali jangan ikut syaitan
Mahu manusia hidup bermasalah

Didapati banyak nikmat Allah
Dengannya subur berbagai makhluk
Mahu manusia hidup bermasalah
Selamat yang berakhlak elok

Dengannya subur berbagai makhluk
Lahirlah pelbagai jenis tamadun
Selamat yang berakhlak elok
Dengan Sunnah kehidupan diadun

Lahirlah pelbagai jenis tamadun
Di Barat dan di Timur
Dengan Sunnah kehidupan diadun
Berjihad selagi ada umur

Di Barat dan di Timur
Tamadun India dan Cina
Berjihad selagi ada umur
Dengan iman asasnya dibina


Tamadun India dan Cina
Wujud sebelum Nabi kita
Dengan iman asasnya dibina
Inilah sumbangan Bapa tercinta

Wujud sebelum Nabi kita
Tamadun berteraskan tarikan dunia
Inilah sumbangan Bapa tercinta
Mahu kita hidup mulia


HMS Abu Bakar
20 Jun 2010
(7 Rejab 1431H)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan