Rabu, 31 Ogos 2011

PANTUN SELAMAT HARI RAYA 1432 H

Doa itu senjata orang mukmin


Dalam sungai berenang buaya
Waktu pagi menjemur diri
Orang mukmin tetap berjaya
Menundukkan nafsu setiap hari

Warna hijau daun pandan
Letak sehelai di tepi cermin
Sedih meninggalkan bulan Ramadhan
Inilah budaya orang mukmin

Allah bersumpah dengan masa
Manusia bersumpah dalam mahkamah
Orang sekular juga berpuasa
Jauh daripada rahmat Allah

Bergerak perlahan seekor ular
Nampak katak terus dimakan
Malang nasib puasa sekular
Kezaliman ketua tetap dipertahankan

Cencaru keluar di waktu petang
Mencari makannya di dalam laut
Pengkhianat demokrasi wajib ditentang
Tuntutan BERSIH selalu disebut

Bunga tanjung putih berseri
Luruh ke bumi di waktu pagi
Bila keredhaan Allah kita cari
Baru di akhirat tidak rugi

Tapai ubi tapai pulut
Sedap dimakan selepas berbuka
Bila pimpinan negara kalut
Nasib rakyat macam neraka

Pisang emas masak sebiji
Beri makan kepada isteri
Pemimpin zalim rakyat keji
Tumbangnya mereka selamat negeri

Lelaki muslim pakai cincin
Cincin dibuat daripada suasa
Khazanah negara disapu licin
Mengumpul harta bila berkuasa

Cincin emas cincin belian
Diguna pakai isteri kenamaan
Bila puasa tidak berkesan
Dapat lapar dan kehausan

Bunga ros warna merah
Bunga mawar warna putih
Selepas Ramadhan mari berhijrah
Tuntut ilmu jangan letih-letih

Tanam sayur di tepi paya
Tumbuh sayur berbagai jenis
Maaf bermaafan di hari raya
Disertai dengan senyuman manis



HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
Syawal1432/Ogos2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan