Isnin, 18 Mei 2015

PANTUN ALLAH DIPUJA


Dirampas rokok berkatun-katun
Harga di pasaran beratus ringgit
Apa tanda pimpinan kartun?
Kehidupan rakyat bertambah perit

Harga di pasaran beratus ringgit
Pendapatan penyeludup dekat sempadan
Kehidupan rakyat bertambah perit
Hasil cukai barangan dan perkhidmatan

Pendapatan penyeludup dekat sempadan
Berlaku di utara negara Malaysia
Hasil cukai barangan dan perkhidmatan
Menderita rakyat kurang upaya

Berlaku di utara negara Malaysia
Iaitu Perlis dan Kedah
Menderita rakyat kurang upaya
Kroni pemerintah dapat faedah

Iaitu Perlis dan Kedah
Pintu masuk warga Siam
Kroni pemerintah dapat faedah
Bahagian penguatkuasa nampak diam

Pintu masuk warga Siam
Datang juga pendatang haram
Bahagian penguatkuasa nampak diam
Melihat duit hatipun geram

Datang juga pendatang haram
Masuk ke Malaysia mancari rezeki
Melihat duit hatipun geram
Peranan rasuah semacam daki

Masuk ke Malaysia mencari rezeki
Peluang pekerjaan cukup banyak
Peranan rasuah semacam daki
Diatasi dengan bertindak bijak

Peluang pekerjaan cukup banyak
Terutama disektor-sektor perladangan
Diatasi dengan bertindak bijak
Beriman dan tinggi pelajaran

Terutama disektor-sektor perladangan
Getah dan kelapa sawit
Beriman dan tinggi pelajaran
Tarikan duit tidak tergamit

Getah dan kelapa sawit
Perlu lagi ramai pekerja
Tarikan duit tidak tergamit
Sentiasa pula Allah dipuja

Perlu lagi ramai pekerja
Rakyat Malaysia tidak berminat
Sentiasa pula Allah dipuja

Beribadat tidak terasa penat


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan