Jumaat, 11 Disember 2015

PANTUN BERLAKU CURANG

Bubuh minyak dalam bejana
Bejana disua dibesi tudung
Dugaannya banyak sebalik bencana
Allah jua tempat berlindung

Bejana disua dibesi tudung
Tudung dibuat dari kain
Allah jua tempat berlindung
Banyakkan beribadat dari bermain

Tudung dibuat dari kain
Kain dibeli dipasar malam
Banyakkan beribadat dari bermain
Tanda yakin dengan Islam

Kain dibei dipasar malam
Sempat juga beli buah-buahan
Tanda yakin dengan Islam
Buat suruhan jauhi tegahan

Sempat juga beli buah-buahan
Termasuk epal dan jagung
Buat suruhan jauhi tegahan
Takut dosa tidak tertanggung

Termasuk epal dan  jagung
Disukai oleh seisi keluarga
Takut dosa tidak tertanggung
Diakhirat menanti nikmat syurga

Disukai oleh seisi keluarga
Berkelah ditepi air terjun
Diakhirat menanti nikmat syurga
Bidadari jelita lagi cun

Berkelah ditepi air terjun
Airnya bersih dan sejuk
Bidadari jelita lagi cun
Bermesra tanpa perlu dipujuk

Airnya bersih dan sejuk
Bila letih makan nasi
Bermesra tanpa perlu dipujuk
Dari aktres yang seksi

Bila letih makan nasi
Berserta gulai ikan patin
Dari aktres yang seksi
Tergoda hati Presiden Putin

Berserta gulai ikan patin
Makan bersama rakan sepejabat
Tergoda hati Presiden Putin
Diatas katil betul-betul hebat

Makan bersama rakan sepejabat
Ada diantaranya isteri orang
Di atas katil betul-betul hebat
Tanpa disedari berlaku curang


HMS ABU BAKAR


Khamis, 10 Disember 2015

HARI HAK KEMANUSIAAN SEDUNIA

Setiap tahun
Apabila tiba 10 Disember
Ada sambutan
Hari Hak Kemanusiaan Sedunia
Tujuannya baik-baik saja
Mahu manusia hidup bahagia
DiTimur, Barat, Selatan dan Utara
Tapi ingat
Dosa pahala ambillah kira
Perintah Allah buatlah segera
Kebajikan rakyat juga diambil kira
GST sepatutnya dimansuhkan segera
Semua rakyat mengalaminya
Sedarlah yang berada diPutrajaya
Ingat juga bila diadakan pilihanraya
Janji baru dikitar semula
Penipu-penipu tandus pahala
Menuju ke akhirat hanya satu hala
Berbahagia yang banyak pahala
Tapi ramai didunia orang gila


HMS ABU BAKAR


Isnin, 7 Disember 2015

PANTUN NIKMAT DISELAM

Anak dara di masuk meminang
Dipinang bagi jejaka perkasa
Adat juara kalah menang
Untung rugi perkara biasa

Dipinang bagi jejaka perkasa
Seorang peniaga yang berjaya
Untung rugi perkara biasa
Mewah hidup bila kaya

Seorang peniaga yang berjaya
Buka restoran makanan Minang
Mewah hidup bila kaya
Beri hadiah ke bakal tunang

Buka restoran makanan Minang
Datang pelanggan berbagai bangsa
Beri hadiah ke bakal tunang
Malam pertama sama-sama rasa

Datang pelanggan berbagai bangsa
Pelancong Barat juga berminat
Malam pertama sama-sama rasa
Berhenti bila terasa penat

Pelancong Barat juga berminat
Cara makanan tradisi Melayu
Berhenti bila terasa penat
Bertindak jika pasangan merayu

Cara makanan tradisi Melayu
Rendang tok tahan lama
Bertindak jika pasangan merayu
Terutama malam bulan purnama

Rendang tok tahan lama
Boleh dibeli di pasar malam
Terutama malam bulan purnama
Dalam perlukan nikmat diselam

Boleh dibeli di pasar malam
Berbagai jenis kuih muih
Dalam perlukan nikmat diselam
Sehingga air liur meleleh

Berbagai jenis kuih muih
Apam balik digemari ramai
Sehingga air liur meleleh
Di situlah air keturunan disemai

Apam balik digemari ramai
Air tebu juga dijual
Di situlah air keturunan disemai
Buatlah sebab semuanya halal

Air tebu juga dijual
Boleh minum disitu juga
Buatlah sebab semuanya halal
Betul aqidah menanti syurga


HMS ABU BAKAR



Sabtu, 5 Disember 2015

SELAMAT PENGANTIN BARU (YAYA & FAIZ)


I
Selamat Pengantin Baru
Intan Maizura Binti Syafei
Ahmad Faiz Bin Muhammad
Zaman bujang dah tamat
Ikut agama tentu selamat
Doa sebelum buat
Dimulai dengan niat
Supaya lahir pelapis-pelapis jemaah
Di Surau An-Nuriah Taman Meru 2B
Ini disuruh Nabi
Melahirkan ramai umat
Mengikut aqidah
Ahli Sunnah Wal Jemaah

II
Tahniah
Syafei Bin Mohd Radzali
Hadiah Binti Isram
Dapat menantu lelaki
Ahmad Faiz Bin Muhammad
Semoga dari Allah dapat rahmat
Di majlis kenduri
Pada hari Sabtu
5 Disember 2015
Di Taman Meru 2B
Rakan-rakan terus mendoakan
Supaya Yaya dan Faiz hidup bahagia
Dari malam pertama
Hingga malam-malam seterusnya
Tutup lampu hilanglah cahaya
Perlu hanya usaha
Sehingga lahir cahayamata
Syafei dan Hadiah akan bersukacita
DiSurau An-Nuriah boleh cerita
Tentu yang baik-baik saja


HMS ABU BAKAR

                               

PANTUN JIWA DISERAH

Mengail ikan dapat sepat
Balik ke rumah kutip pegaga
Sepandai-pandai tupai melompat
Akhirnya jatuh ke tanah juga

Balik ke rumah kutip pegaga
Jadikan ulam bila makan
Akhirnya jatuh ke tanah juga
Oleh itu bersedialah rakan-rakan

Jadikan ulam bila makan
Elok berhenti sebelum kenyang
Oleh itu bersedialah rakan-rakan
Kepada Allah wajiblah sayang

Elok berhenti sebelum kenyang
Cara baik menjaga kesihatan
Kepada Allah wajiblah sayang
Barulah gagal rancangan syaitan

Cara baik menjaga kesihatan
Puasa sunat dijadikan budaya
Barulah gagal rancangan syaitan
Baru hidup di akhirat berjaya

Puasa sunat dijadikan budaya
Elok dua hari seminggu
Baru hidup di akhirat berjaya
Di syurga bidadari sedang menunggu

Elok dua hari seminggu
Berlapar diri di siang hari
Di syurga bidadari sedang menunggu
Nikmatnya pula tidak terperi

Berlapar diri di siang hari
Seluruh keluarga ikut berpuasa
Nikmatnya pula tidak terperi
Kurniaan Allah Maha Berkuasa

Seluruh keluarga ikut berpuasa
Bila berbuka makan kurma
Kurniaan Allah Maha Berkuasa
Diberinya yang taat beragama

Bila berbuka makan kurma
Minum air selepas itu
Diberinya yang taat beragama
Solat berjemaah setiap waktu

Minum air selepas itu
Solat Maghrib bersama keluarga
Solat berjemaah setiap waktu
Terbuka jalan menuju syurga

Solat Maghrib bersama keluarga
Selepas itu dengar tazkirah
Terbuka jalan menuju syurga
Kepada Allah jiwa diserah


HMS ABU BAKAR



Jumaat, 4 Disember 2015

SELAMAT HARI LAHIR KE 23


Apabila tiba
4 Disember
Ingat kita hari kelahiran Yusof
Tahun ini
4 Disember 2015
Jatuh pada hari Jumaat
Ayah dan emak hanya mengingat
Tiang agama ialah solat
Oleh itu
Jadikan solat lima waktu sebagai usaha
Menguatkan jiwa
Untuk berhadapan segala bahaya
Dengan kerja kuat jalan untuk berjaya
Bila Yusof berjaya
Emak dan ayah cukup gembira
Dosa pahala diambil kira
Buatlah segala suruhan
Jauhilah segala tegahan
Nescaya dapat perlindungan Tuhan
Kunci segala kejayaan
Dihari lahir ini
Kami ucapkan
“Selamat hari lahir ke 23 tahun”


HMS ABU BAKAR



HARI LAHIR KE 79


22 Safar 2015
Genap umurku 79 tahun hijiriah
Terima kasih emak dan ayah
Membesarkan aku dengan susah payah
Semuanya dengan izin Allah
Menghantar aku ke sekolah
Awal-awalnya di Kampung Gajah
Dari bersekolah dikampungku
Aku belajar sekolah Inggeris di Teluk Anson
Sekarang dipanggil Teluk Intan
Ditingkatan 6 saya belajar disekolah S.M.I
Nama penuhnya
Saints Michael Institution
Lulus H.S.C
Bererti
Higher School Certificate
Saya masuk ke Universiti Malaya
Saya lulus B.A pada tahun 1964
Kemudian saya kerja dengan kerajaan
Jawatan akhir saya ialah
Setiausaha Dewan Negara merangkap Timbalan Setiausaha bagi Parlimen
Saya bersara waktu umur saya 56 tahun
Sekarang umur saya mengikut tahun masehi ialah 76 tahun
Tapi bila tiba 22 Safar tahun 1437 Hijrah
Umur saya dah 79 tahun
Kepada Allah saya memohon
Supaya mati dalam iman
Ini yang sedang saya usahakan siang dan malam
Isnin dan Khamis saya dan isteri puasa sunat
Setiap hari saya buat rawatan Ceragem
Dengan kesihatan yang baik saya mengajar di 10 tempat sekitar Ipoh
Kata orang sekarang Kuliah Maghrib
Tauliah mengajar dikurniakan oleh Sultan Perak
Dengan mengajar Sejarah Nabi s.a.w dapatlah saya menarik hati jemaah kepada pentingnya sejarah.
Maklumlah ‘sejarah itu berulang’
Ini kata bijak bistari
Oleh itu keredhaan Allah hendaklah dicari
Dengan cara:-
Mendengar
Menulis
Membaca
Memahami
Mengamalkan
Dengan cara ini kuatlah daya ingatan
Dengannya tersungkur syaitan


HMS ABU BAKAR


Khamis, 3 Disember 2015

PANTUN GULAI LEMAK

Jambu batu di tepi laman
Pokok semalu di kanan kiri
Sabar itu mutiara iman
Digilap selalu bertambah seri

Pokok semalu di kanan kiri
Tumbuh subur di tebing sungai
Digilap selalu bertambah seri
Hadapi masalah yang berbagai

Tumbuh subur di tebing sungai
Senang pula menjala ikan
Hadapi masalah yang berbagai
Tentu yang wajib diutamakan

Senang pula menjala ikan
Tersangkut baung dan seluang
Tentu yang wajib diutamakan
Disedari oleh seorang pejuang

Tersangkut baung dan seluang
Di antara berbagai ikan disungai
Disedari oleh seorang pejuang
Aqidah Sunnah saja dipakai

Di antara berbagai ikan disungai
Ikan kaloi jarang jumpa
Aqidah Sunnah saja dipakai
Selainnya diakhirat akan papa

Ikan kaloi jarang jumpa
Dalam sungai mudah membiak
Selainnya diakhirat akan papa
Siang malam kedengaran berteriak

Dalam sungai mudah membiak
Terutama lampam dan baung
Siang malam kedengaran berteriak
Menyesal serta juga meraung-raung

Terutama lampam dan baung
Sedap buat gulai lemak
Menyesal serta juga meraung-raung
Minta didoakan oleh ulamak

Sedap buat gulai lemak
Campur sedikit cili padi
Minta didoakan oleh ulamak
Selepas itu semuanya menjadi

Campur sedikit cili padi
Taruh kunyit nampak kuning
Selepas itu semuanya menjadi
Hanya syaitan yang pening

Taruh kunyit nampak kuning
Biasa bagi masakan mamak
Hanya syaitan yang pening
Bila pimpinan tidak tamak


HMS ABU BAKAR



Rabu, 2 Disember 2015

PANTUN DIJADIKAN SAHABAT

Buah laka cicah garam
Jambu batu sedap rasanya
Jangan suka melepas geram
Sabar itu ada hikmatnya

Jambu batu sedap rasanya
Boleh dibeli di pasar malam
Sabar itu ada hikmatnya
Memang disuruh oleh Islam

Boleh dibeli di pasar malam
Beredar dari tempat ke tempat
Memang disuruh oleh Islam
Bila dibuat pahala pun dapat

Beredar dari tempat ke tempat
Bayar dua ringgit setapak
Bila dibuat pahala pun dapat
Dakwah kepada yang melepak

Bayar dua ringgit setapak
Penganjur akan beri resit
Dakwah kepada yang melepak
Baru lari hantu pelesit

Penganjur akan beri resit
Tanda kebenaran boleh berniaga
Baru lari hantu pelesit
Mudah jalan pergi ke syurga

Tanda kebenaran boleh berniaga
Jualan lemang nampak laris
Mudah jalan pergi ke syurga
Bila meninggalkan perjuangan keris

Jualan lemang nampak laris
Datang pelancong turut membeli
Bila meninggalkan perjuangan keris
Kawan lama tetap perli

Datang pelancong turut membeli
Bawa ke hotel untuk sarapan
Kawan lama tetap perli
Sabar menghadapi masa hadapan

Bawa ke hotel untuk sarapan
Keluarga makan dengan lahapnya
Sabar menghadapi masa hadapan
Betul aqidah Insya Allah berjaya

Keluarga makan dengan lahapnya
Diakhiri meminum air serbat
Betul aqidah Insya Allah berjaya
Orang mukmin dijadikan sahabat

Diakhiri meminum air serbat
Manis rasa hingga ke tekak
Orang mukmin dijadikan sahabat
Direstui adik dan kakak


HMS ABU BAKAR



Selasa, 1 Disember 2015

PANTUN BERTAMBAH SAYANG

Parut kelapa lalu diperah
Penat bekerja duduk di luar
Biar betapa kuatnya marah
Sabar sahaja jadi penawar

Penat bekerja duduk di luar
Sambil menanti waktu solat
Sabar sahaja jadi penawar
Jauh sekali dari mengelat

Sambil menanti waktu solat
Lima kali sehari semalam
Jauh sekali dari mengelat
Inilah budaya orang Islam

Lima kali sehari semalam
Solat berjemaah bersama isteri
Inilah budaya orang Islam
Ilmu sebagai pelengkap diri

Solat berjemaah bersama isteri
Bergilir di surau dan di masjid
Ilmu sebagai pelengkap diri
Belajar dari seorang mujahid

Bergilir di surau dan di masjid
Tempat orang kampung bersolat
Belajar dari seorang mujahid
Bila berdoa menghadapi kiblat

Tempat orang kampung bersolat
Ada kolah tempat berwudhuk
Bila berdoa menghadapi kiblat
Dimakbulkan Allah kerana khusyuk

Ada kolah tempat berwudhuk
Sangat berguna di musim kemarau
Dimakbulkan Allah kerana khusyuk
Berlatih beribadat selalu disurau

Sangat berguna di musim kemarau
Dari paip dipenuhkan kolah
Berlatih beribadat selalu disurau
Akhirnya sifat malas kalah

Dari paip dipenuhkan kolah
Mengambil hanya beberapa jam
Akhirnya sifat malas kalah
Dengan ilmu fikiran pun tajam

Mengambil hanya beberapa jam
Membaca buku bab sembahyang
Dengan ilmu fikiran pun tajam
Kepada Allah bertambah sayang

Membaca buku bab sembahyang
Tanya Ustaz bila bermasalah
Kepada Allah bertambah sayang
Begitu juga kepada Rasulullah


HMS ABU BAKAR