Ahad, 14 Februari 2016

PANTUN RAKYAT MENGELUH


Dua kali lima sepuluh
Dua kali enam dua belas
Ada GST rakyat mengeluh
Dari usaha pimpinan ikhlas

Dua kali enam dua belas
Sedang dihafal oleh murid-murid
Dari usaha pimpinan ikhlas
Selesai solat terus berwirid

Sedang dihafal oleh murid-murid
Dari sebuah sekolah rendah
Selesai solat terus berwirid
Dunia dan akhirat berfaedah

Dari sebuah sekolah rendah
Ramai pelajar yang miskin
Dunia dan akhirat berfaedah
Bila Rukun Iman yakin

Ramai pelajar yang miskin
Ibubapa dari kalangan petani
Bila Rukun Iman yakin
Menghadapi musuh tetap berani

Ibubapa dari kalangan petani
Selepas subuh keluar rumah
Menghadapi musuh tetap berani
Berilmu dan pula berhemah

Selepas subuh keluar rumah
Menanam padi bersama keluarga
Berilmu dan pula berhemah
Nanti berpeluang masuk syurga


Menanam padi bersama keluarga
Keluar pagi balik petang
Nanti berpeluang masuk syurga
Hanya tunggu Izrail datang

Keluar pagi balik petang
Masak padi terus dijual
Hanya tunggu Izrail datang
Kepada Allah tetap bertawakkal

Masak padi terus dijual
Dapat duit mudah berbelanja
Kepada Allah tetap bertawakkal
Kehendak agama ikut saja

Dapat duit mudah berbelanja
Infak untuk kemajuan Islam
Kehendak agama ikut saja
Ilmu Tauhid perlu mendalam

Infak untuk kemajuan Islam
Hadirkan diri disetiap kuliah
Ilmu Tauhid perlu mendalam
Baru wujud jiwa mut’mainah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan