Sabtu, 5 Disember 2015

PANTUN JIWA DISERAH

Mengail ikan dapat sepat
Balik ke rumah kutip pegaga
Sepandai-pandai tupai melompat
Akhirnya jatuh ke tanah juga

Balik ke rumah kutip pegaga
Jadikan ulam bila makan
Akhirnya jatuh ke tanah juga
Oleh itu bersedialah rakan-rakan

Jadikan ulam bila makan
Elok berhenti sebelum kenyang
Oleh itu bersedialah rakan-rakan
Kepada Allah wajiblah sayang

Elok berhenti sebelum kenyang
Cara baik menjaga kesihatan
Kepada Allah wajiblah sayang
Barulah gagal rancangan syaitan

Cara baik menjaga kesihatan
Puasa sunat dijadikan budaya
Barulah gagal rancangan syaitan
Baru hidup di akhirat berjaya

Puasa sunat dijadikan budaya
Elok dua hari seminggu
Baru hidup di akhirat berjaya
Di syurga bidadari sedang menunggu

Elok dua hari seminggu
Berlapar diri di siang hari
Di syurga bidadari sedang menunggu
Nikmatnya pula tidak terperi

Berlapar diri di siang hari
Seluruh keluarga ikut berpuasa
Nikmatnya pula tidak terperi
Kurniaan Allah Maha Berkuasa

Seluruh keluarga ikut berpuasa
Bila berbuka makan kurma
Kurniaan Allah Maha Berkuasa
Diberinya yang taat beragama

Bila berbuka makan kurma
Minum air selepas itu
Diberinya yang taat beragama
Solat berjemaah setiap waktu

Minum air selepas itu
Solat Maghrib bersama keluarga
Solat berjemaah setiap waktu
Terbuka jalan menuju syurga

Solat Maghrib bersama keluarga
Selepas itu dengar tazkirah
Terbuka jalan menuju syurga
Kepada Allah jiwa diserah


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan