Ahad, 1 Mac 2015

PANTUN PENTINGNYA ISTIQAMAH


Terbang burung dari selatan
Dipuput angin sangga bayu
Musuh manusia ialah syaitan
Mahu selamat ikutlah wahyu

Dipuput angin sangga bayu
Masuk ke tingkap terasa sejuknya
Mahu selamat ikutlah wahyu
Beramal soleh setelah percaya

Masuk ke tingkap terasa sejuknya
Baca buku tulisan jawi
Beramal soleh setelah percaya
Nikmat taqwa baru dirasai

Baca buku tulisan jawi
Cerita Sultan Mohamed Fateh
Nikmat taqwa baru dirasai
Beribadat malam tak terasa letih

Cerita Sultan Mohamed Fateh
Seorang pemimpin yang bertaqwa
Beribadat malam tak terasa letih
Menjadikan syaitan amat kecewa

Seorang pemimpin yang bertaqwa
Askar-askarnya juga kuat iman
Menjadikan syaitan amat kecewa
Jadilah negara kekal aman

Askar-askarnya juga kuat iman
Puasa sunat Isnin dan Khamis
Jadilah negara kekal aman
Bebas dari budaya mengemis

Puasa sunat Isnin dan Khamis
Waktu malam solat tahajjud
Bebas dari budaya mengemis
Panjangkan doa sewaktu sujud

Waktu malam solat tahajjud
Berzikir dan baca Quran
Panjangkan doa sewaktu sujud
Dari Sirah Nabi ambil pelajaran

Berzikir dan baca Quran
Dilakukan pula secara istiqamah
Dari Sirah Nabi ambli pelajaran
Pimpinan diatas cukup beramanah

Dilakukan pula secara istiqamah
Membaca buku dijadikan hobi
Pimpinan diatas cukup beramanah
Walaupun ujian datang bertubi-tubi

Membaca buku dijadikan hobi
Dibaca juga terjemahan Quran
Walaupun ujian datang bertubi-tubi
Dengan sabar tercapailah kejayaan


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan