'mati dalam iman' |
Sri Rama raja di tasik
Pandai tempa puan cerana
Jiwa kotor suka berbisik
Tolak Sunnah tentulah hina
Mahkota Ratna bertatah urai
Bunga tapak untuk bidadari
Selagi nyawa belum bercerai
Keredhaan Allah tetap dicari
Balai panjang sembilan tingkat
Selasih mayang elok dihimpunkan
Bila berjuang kerana pangkat
Biasanya orang bawah dikorbankan
Kirim surat kepada kekanda
Sampailah pada hari Selasa
Dengan melancong cerialah minda
Hilanglah prasangka di antara bangsa
Selasih kebun orang Belanda
Tanam oleh anak serani
Jika ada ilmu di dada
Baru menentang penzalim berani
Dewa Mandu raja sakti
Tujuh tasik boleh diharungnya
Bila iman sudah sejati
Sanggup hadapi segala bahaya
Kain hitam baru diseka
Buah keras mudah dilurutkan
Orang fasik masuk neraka
Arahan Allah suka dilamat-lamatkan
Tanam batang bawa bertumbuh
Daunnya melampai ke negeri seberang
Baik hadir di kuliah subuh
InsyaAllah hati bertambah terang
Kalau tuan ke Teluk Pandan
Masuk hutan mencari jati
Daripada Nabi ambillah teladan
Baru beriman sampai mati
Pergi ke kebun mencari buah
Dapat sebiji buah durian
Orang beriman hidup bermaruah
Sabar pula menghadapi ujian
Dari Apung ke pekan Pariaman
Sayang selasih dalam cerana
Untung berkawan orang beriman
Dengan ilmu tamadun dibina
Buluh batu di atas atap
Hendak dibuat bambu joran
Hak dan batil mesti berentap
Mestilah ikut ajaran Quran
HMS ABU BAKAR
paksalleh.blogspot.com
JAkhir1433/Mei2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan