Khamis, 12 November 2015

PANTUN DI KALANGAN MANUSIA

Berkain pelekat corak lama
Bajunya sutera cincinnya biasa
Berpakat-pakat usaha bersama
Memastikan negara aman sentosa

Bajunya sutera cincinnya biasa
Dipakai wanita berketurunan bangsawan
Memastikan negara aman sentosa
Berbagai bangsa elok berkawan

Dipakai wanita berketurunan bangsawan
Ada digelar sebagai raja
Berbagai bangsa elok berkawan
Kerana Allah bila bekerja

Ada digelar sebagai raja
Berasal dari kesultanan Melaka
Kerana Allah bila bekerja
Di alam akhirat terlepas neraka

Berasal dari kesultanan Melaka
Menjadi raja di Negeri Perak
Di alam akhirat terlepas neraka
Di syurga boleh minum arak

Menjadi raja di Negeri Perak
Kuala Kangsar jadi bandar diraja
Di syurga boleh minum arak
Di dunia hanya beramal saja

Kuala Kangsar jadi bandar diraja
Istana besarnya di Bukit Chandan
Di dunia hanya beramal saja
Sunnah Nabi dijadikan teladan

Istana besarnya di Bukit Chandan
Dekat dengan Masjid Ubudiah
Sunnah Nabi dijadikan teladan
Setiap waktu solat berjemaah

Dekat dengan Masjid Ubudiah
Tersergam indah diatas bukit
Setiap waktu solat berjemaah
Solat subuh jemaahnya sedikit

Tersergam indah diatas bukit
Ramai pelancong datang melawat
Solat subuh jemaahnya sedikit
Tanah perkuburan juga dilawat

Ramai pelancong datang melawat
Dari Korea dan Jepun
Tanah perkuburan juga dilawat
Dosa mereka minta diampun

Dari Korea dan Jepun
Dua negara termaju di Asia
Dosa mereka minta diampun
Tugas murni di kalangan manusia


HMS ABU BAKAR



Rabu, 11 November 2015

EMPAT MUSUH MANUSIA



Yang pertama:
Dunia
Senjatanya ialah makhluk
Penjaranya ialah uzlah
Berbanyak-banyak mengingati Allah

Yang kedua:
Syaitan
Senjatanya ialah kenyang
Penjaranya ialah lapar
Puasa sunat hari Isnin dan Khamis

Yang ketiga:
Nafsu
Senjatanya ialah tidur
Penjaranya ialah Qiamullail
Dua rakaat solat tahajjud
Satu rakaat witir

Yang keempat:
Hawa nafsu
Senjatanya bercakap
Penjaranya ialah diam
Berzikir siang hingga malam
Baru anda betul beragama Islam


HMS ABU BAKAR

Selasa, 10 November 2015

PANTUN TERBUKA DADA



Kena sembilu di celah kuku
Rasa sakitnya tentu tak nyaman
Takut malu maksiat dilaku
Itu orangnya menjaga iman

Rasa sakitnya tentu tak nyaman
Jumpa doktor dapatkan rawatan
Itu orangnya menjaga iman
Selamat dari godaan syaitan

Jumpa doktor dapatkan rawatan
Berbayar jumpa doktor swasta
Selamat dari godaan syaitan
Biasanya menggunakan kecantikan wanita

Berbayar jumpa doktor swasta
Dilakukan yang ada duit
Biasanya menggunakan kecantikan wanita
Nafsu lelaki mudah tercuit

Dilakukan yang ada duit
Orang miskin ke klinik kerajaan
Nafsu lelaki mudah tercuit
Melihat kecantikan paras perempuan

Orang miskin ke klinik kerajaan
Ramai orang di sebelah pagi
Melihat kecantikan paras perempuan
Memilikinya belum berupaya lagi

Ramai orang di sebelah pagi
Hari Isnin biasanya begitu
Memilikinya belum berupaya lagi
Enak rasanya jika bersatu

Hari Isnin biasanya begitu
Klinik kerajaan dipenuhi manusia
Enak rasanya jika bersatu
Tangkap basah usaha sia-sia

Klinik kerajaan dipenuhi manusia
Ada India ramainya Melayu
Tangkap basah usaha sia-sia
Dilakukan yang ingkar wahyu

Ada India ramainya Melayu
Orang Cina biasanya sikit
Dilakukan yang ingkar wahyu
Jahil agama menjadi penyakit

Orang Cina biasanya sikit
Ramai pergi ke klinik swasta
Jahil agama menjadi penyakit
Mendedahkan aurat senjata wanita

Ramai pergi ke klinik swasta
Mudah bagi yang berada
Mendedahkan aurat senjata wanita
Berpakaian tapi terbuka dada



HMS ABU BAKAR



Isnin, 9 November 2015

PANTUN MENABUR JASA

Layang-layang balik senja
Burung helang tercari-cari
Bangsa yang terlalu dimanja
Alamat hilang harga diri

Burung helang tercari-cari
Ayam menyorok dalam reban
Alamat hilang harga diri
Jahil agama walaupun berserban

Ayam menyorok dalam reban
Naik mentari baru keluar
Jahil agama walaupun berserban
Dalam akhbar sengaja diwar-war

Naik mentari baru keluar
Mencari makanan di tepi pagar
Dalam akhbar sengaja diwar-war
Dipercayai oleh pengikut tegar

Mencari makanan di tepi pagar
Dilakukan ayam setiap hari
Dipercayai oleh pengikut tegar
Pimpinan d iatas mengkayakan diri

Dilakukan ayam setiap hari
Bila besar dijual di pasar
Pimpinan di atas mengkayakan diri
Tujuan bajet selalu tersasar

Bila besar dijual di pasar
Tokeh restoran pembeli tetap
Tujuan bajet selalu tersasar
Nasib rakyat saja direntap

Tokeh restoran pembeli tetap
Ramai pengunjung datang makan
Nasib rakyat saja direntap
Perubahan pemikiran perlu dilakukan

Ramai pengunjung datang makan
Gulai tempoyak jadi pilihan
Perubahan pemikiran perlu dilakukan
Semoga dicepatkan oleh Tuhan

Gulai tempoyak jadi pilihan
Biasa bagi orang Perak
Semoga dicepatkan oleh Tuhan
Badan-badan NGO jadi penggerak

Biasa bagi orang Perak
Makan nasi di kedai mamak
Badan-badan NGO jadi penggerak
Tentulah di atas bimbingan ulamak

Makan nasi di kedai mamak
Pelanggannya dari berbagai bangsa
Tentulah di atas bimbingan ulamak
Sepanjang zaman menabur jasa


HMS ABU BAKAR



Ahad, 8 November 2015

PANTUN MAJULAH UMMAH

Menyusun papan biar teratur
Kayu baroti tersusun ditepian
Beradab sopan apabila bertutur
Orang hormat dengan pujian

Kayu baroti tersusun ditepian
Baru dibeli dari pekan
Orang hormat dengan pujian
Menjadi kuat dengan berpasukan

Baru dibeli dari pekan
Sewa lori bawa ke rumah
Menjadi kuat dengan berpasukan
Betul aqidah majulah ummah

Sewa lori bawa ke rumah
Sewaktu tiba sebelum zohor
Betul aqidah majulah ummah
Nama Syafie memang masyhur

Sewaktu tiba sebelum zohor
Solat zohor secara jemaah
Nama Syafie memang masyhur
Mengarang kitab cukup berhemah

Solat zohor secara jemaah
Diimamkan oleh ketua kampung
Mengarang kitab cukup berhemah
Dengan zikir, nafsu dikepung

Diimamkan oleh ketua kampung
Rajin membaca buku-buku agama
Dengan zikir, nafsu dikepung
Perpaduan kaum kekal lama

Rajin membaca buku-buku agama
Novel sejarah diminati juga
Perpaduan kaum kekal lama
Hidup bermesra diantara keluarga

Novel sejarah diminati juga
Diantaranya cerita Perang Badar
Hidup bermesra diantara keluarga
Dengannya semangat asobiyah pudar

Diantaranya cerita Perang Badar
Tentera kafir Quraish kalah
Dengannya semangat asobiyah pudar
Setiap saat ingatkan Allah

Tentera kafir Quraish kalah
Abu Jahal mati dipancung
Setiap saat ingatkan Allah
Perjalanan hidup tanpa melencung

Abu Jahal mati dipancung
Menyembah tanah diakhir peperangan
Perjalanan hidup tanpa melencung
Akhirnya Nabi mendapat kemenangan


HMS ABU BAKAR



Sabtu, 7 November 2015

PANTUN ZIKIR AL-GHAZALI

Gulai kelisa sedap rasa
Berbuka puasa jadi juadahnya
Maju bangsa kerana bahasa
Pimpinan beriman rakyat percaya

Berbuka puasa jadi juadahnya
Makan beramai disurau terdekat
Pimpinan beriman rakyat percaya
Aktiviti dakwah jarang disekat

Makan beramai disurau terdekat
Solat Maghrib selepas itu
Aktiviti dakwah jarang disekat
Masyarakat setempat mudah bersatu

Solat Maghrib selepas itu
Baca Yaasin beramai-ramai
Masyarakat setempat mudah bersatu
Hidup pula bertambah damai

Baca Yaasin beramai-ramai
Diketuai imam yang berpengalaman
Hidup pula bertambah damai
Berpuasa dari kuatnya iman

Diketuai imam yang berpengalaman
Selepas itu ada tazkirah
Berpuasa dari kuatnya iman
Ambil iktibar peristiwa Hijrah

Selepas itu ada tazkirah
Didatangkan penceramah dari luar
Ambil iktibar peristiwa Hijrah
Berani menentang perkara mungkar

Didatangkan penceramah dari luar
Dibayar saguhati ala kadar
Berani menentang perkara mungkar
Baru pimpinan zalim sedar

Dibayar saguhati ala kadar
Hasil kutipan orang ramai
Baru pimpinan zalim sedar
Puak bertelagah akhirnya berdamai

Hasil kutipan orang ramai
Menderma duit untuk agama
Puak bertelagah akhirnya berdamai
Memajukan umat tugas bersama

Menderma duit untuk agama
Diurus jawatankuasa yang bermaruah
Memajukan umat tugas bersama
Akhirnya budaya mungkar punah

Diurus jawatankuasa yang bermaruah
Dipilih dua tahun sekali
Akhirnya budaya mungkar punah
Berkat zikir harian Al-Ghazali


HMS ABU BAKAR



Jumaat, 6 November 2015

PANTUN BERTERASKAN DAKWAH

Buah delima baru dipetik
Sama pulasan jual dipekan
Kalau agama diperkotak-katik
Terima belasan Allah turunkan

Sama pulasan jual dipekan
Rupanya semacam buah rambutan
Terima balasan Allah turunkan
Akibat mengikut ajakkan syaitan

Rupanya semacam buah rambutan
Menjadi makanan orang kampung
Akibat mengikut ajakkan syaitan
Seks rambang dapat dikepung

Menjadi makanan orang kampung
Ikan keli ikan puyu
Seks rambang dapat dikepung
Dengan mengikut ajaran wahyu

Ikan keli ikan puyu
Dua jenis ikan darat
Dengan mengikut ajaran wahyu
Selamat Melayu dialam akhirat

Dua jenis ikan darat
Mudah membiak dalam sawah
Selamat Melayu dialam akhirat
Ikut jemaah berteraskan dakwah

Mudah membiak dalam sawah
Ikan haruan dan sepat
Ikut jemaah berteraskan dakwah
Inilah tindakan yang tepat

Ikan haruan dan sepat
Sedap bila masak lemak
Inilah tindakan yang tepat
Berjuang ikut pimpinan ulamak

Sedap bila masak lemak
Campur sedikt cili padi
Berjuang ikut pimpinan ulamak
Baru terkawal budaya Yahudi

Campur sedikit cili padi
Menjadi kegemaran orang Minang
Baru terkawal budaya Yahudi
Jemaah Islam mudah menang

Menjadi kegemaran orang Minang
Banyak terdapat di Negeri Sembilan
Jemaah Islam mudah menang
Ulamak silam menunjukkan jalan

Banyak terdapat diNegeri Sembilan
Terus mengamalkan Adat Perpatih
Ulamak silam menunjukkan jalan
Memandu umat tidak letih-letih


HMS ABU BAKAR



Khamis, 5 November 2015

APA KATA AL-GHAZALI TENTANG ILMU

I
Menuntut ilmu adalah taqwa
Bila beramal iblis kecewa

II
Menyampaikan ilmu adalah ibadah
Asas kemenangan betulnya aqidah

III
Mengulang-ulang ilmu adalah zikir
Baca Al-Quran dan terus berfikir

IV
Mencari ilmu adalah jihad
Umur manusia ada had
Oleh itu minda kena sihat
Elok banyakkan selawat
Bertaubat sebelum terlewat


HMS ABU BAKAR



Rabu, 4 November 2015

JANJI BAIK

Menanti syurga
Membawa banyak pahala
Gunakan akal dikepala
Gunakan ilmu untuk beramal
Gunakan hati untuk menanam kecintaan kepada Allah:-
Kanak-kanak pergi ke sekolah
Bawa beg berisi buku
Menipu rakyat tentunya salah
Datang Izrail semuanya kaku


HMS ABU BAKAR

Selasa, 3 November 2015

PANTUN IMANNYA TEGUH

Waktu pagi ayam berkokok
Menandakan hari hendak siang
Iblis suruh manusia merokok
Datang penyakit hilang kasih sayang

Menandakan hari hendak siang
Bangun berwudhuk orang beriman
Datang penyakit hilang kasih sayang
Kencing tikus membawa kuman

Bangun berwudhuk orang beriman
Pergi ke masjid solat berjemaah
Kencing tikus membawa kuman
Bila mati tanam ditanah

Pergi ke masjid solat berjemaah
Ramai jemaah ditaman perumahan
Bila mati tanam ditanah
Baru sedar kuasa Tuhan

Ramai jemaah ditaman perumahan
Dikampung-kampung nampak sunyi
Baru sedar kuasa Tuhan
Semasa hidup eloklah mengaji

Dikampung-kampung nampak sunyi
Ramai remaja berhijrah ke bandar-bandar
Semasa hidup eloklah mengaji
Kemudian makan nasi kandar

Ramai remaja berhijrah ke bandar-bandar
Peluang pekerjaan terbuka luas
Kemudian makan nasi kandar
Perut kenyang hati pun puas

Peluang pekerjaan terbuka luas
Datang warga asing ke Malaysia
Perut kenyang hati pun puas
Beribadat selagi ada usia

Datang warga asing ke Malaysia
Mencari rezeki cukup mudah
Beribadat selagi ada usia
Betul aqidah semuanya berfaedah

Mencari rezeki cukup mudah
Remaja Melayu hanya merempit
Betul aqidah semuanya berfaedah
Dalam kubur tidaklah sempit

Remaja Melayu hanya merempit
Berlumba motor hujung minggu
Dalam kubur tidaklah sempit
Nikmat Allah saja ditunggu

Berlumba motor hujung minggu
Berlaku sebelum solat subuh
Nikmat Allah saja ditunggu
Bagi yang imannya teguh

HMS ABU BAKAR