Rabu, 2 Disember 2015

PANTUN DIJADIKAN SAHABAT

Buah laka cicah garam
Jambu batu sedap rasanya
Jangan suka melepas geram
Sabar itu ada hikmatnya

Jambu batu sedap rasanya
Boleh dibeli di pasar malam
Sabar itu ada hikmatnya
Memang disuruh oleh Islam

Boleh dibeli di pasar malam
Beredar dari tempat ke tempat
Memang disuruh oleh Islam
Bila dibuat pahala pun dapat

Beredar dari tempat ke tempat
Bayar dua ringgit setapak
Bila dibuat pahala pun dapat
Dakwah kepada yang melepak

Bayar dua ringgit setapak
Penganjur akan beri resit
Dakwah kepada yang melepak
Baru lari hantu pelesit

Penganjur akan beri resit
Tanda kebenaran boleh berniaga
Baru lari hantu pelesit
Mudah jalan pergi ke syurga

Tanda kebenaran boleh berniaga
Jualan lemang nampak laris
Mudah jalan pergi ke syurga
Bila meninggalkan perjuangan keris

Jualan lemang nampak laris
Datang pelancong turut membeli
Bila meninggalkan perjuangan keris
Kawan lama tetap perli

Datang pelancong turut membeli
Bawa ke hotel untuk sarapan
Kawan lama tetap perli
Sabar menghadapi masa hadapan

Bawa ke hotel untuk sarapan
Keluarga makan dengan lahapnya
Sabar menghadapi masa hadapan
Betul aqidah Insya Allah berjaya

Keluarga makan dengan lahapnya
Diakhiri meminum air serbat
Betul aqidah Insya Allah berjaya
Orang mukmin dijadikan sahabat

Diakhiri meminum air serbat
Manis rasa hingga ke tekak
Orang mukmin dijadikan sahabat
Direstui adik dan kakak


HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan