Isnin, 21 Disember 2015

PANTUN PENYOKONG SYAITAN

Anak kera ke pokok sena
Gara-gara ternampak belibis
Ingat sementara belum kena
Jimat sementara sebelum habis

Gara-gara ternampak belibis
Jenis burung terbang berkawan
Jimat sementara sebelum habis
Syaitan itu sebenar-benar lawan

Jenis burung terbang berkawan
Minum air ditepi laut
Syaitan itu sebenar-benar lawan
Merosakkan aqidah ketika maut

Minum air ditepi laut
Datang burung berbagai jenis
Merosakkan aqidah ketika maut
Kuat iman semuanya manis

Datang burung berbagai jenis
Burung helang dari bukit
Kuat iman semuanya manis
Maksiat dulu jangan diungkit

Burung helang dari bukit
Menanti mangsa ayam sereban
Maksiat dulu jangan diungkit
Kerana islam sanggup berkorban

Menanti mangsa ayam sereban
Reban berada dalam pagar
Kerana islam sanggup berkorban
Dengan iman yang segar bugar

Reban berada dalam pagar
Dijaga siang dan malam
Dengan iman yang segar bugar
Melahirkan ramai pejuang islam

Dijaga siang dan malam
Dari bahaya binatang buas
Melahirkan ramai pejuang islam
Setiap waktu terasa puas

Dari bahaya binatang buas
Seperti harimau dan singa
Setiap waktu terasa puas
Inilah keadaan dalam syurga

Seperti harimau dan singa
Melihat rusa terus diburu
Inilah keadaan dalam syurga
Nikmat datang semuanya baru

Melihat rusa terus diburu
Suasana sebegini berlaku dihutan
Nikmat datang semuanya baru
Terliur mulut penyokong syaitan

HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan