Jumaat, 18 Disember 2015

PANTUN MUHAMMAD AL-FATEH

Ambil galah jolok macang
Waktu petang mencari rotan
Timbul masalah baru bincang
Fitnah datang hasutan syaitan

Waktu petang mencari rotan
Tiba dirumah hampir maghrib
Fitnah datang hasutan syaitan
Diselamatkan oleh sahabat qarib

Tiba dirumah hampir maghrib
Selepas mandi solat berjemaah
Diselamatkan oleh sahabat qarib
Ini tanda manusia beramanah

Selepas mandi solat berjemaah
Balik ke rumah selepas isyak
Ini tanda manusia beramanah
Bila memimpin tentulah layak

Balik ke rumah selepas isyak
Singgah diwarung makan malam
Bila memimpin tentulah layak
Perwatakannya dipengaruh oleh Islam

Singgah diwarung makan malam
Habis makan balik ke rumah
Perwatakannya dipengaruh oleh Islam
Setiap tindakan ada hikmah

Habis makan balik ke rumah
Baca buku menjelang tidur
Setiap tindakan ada hikmah
Belum didesak sudah berundur

Baca buku menjelang tidur
Buku mengenai sejarah Islam
Belum didesak sudah berundur
Kesan ilmu tauhid mendalam

Buku mengenai sejarah Islam
Contoh terbaik Muhammad Al-Fateh
Kesan ilmu tauhid mendalam
Membantu umat tidak letih-letih

Contoh terbaik Muhammad Al-Fateh
Bandar Constantinopol beliau takluki
Membantu umat tidak letih-letih
Bebas dari perasaan dengki

Bandar Constantinopol beliau takluki
Dari pemerintahan Rom Timur
Bebas dari perasaan dengki
Berjihad sehingga habis umur

Dari pemerintahan Rom Timur
Istanbul jadi nama baru
Berjihad sehingga habis umur
Keredhaan Allah saja diburu


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan