Rabu, 23 September 2015

PANTUN MANIS MUKA

Pisang kaki buah keranji
Di tepi kolah dekat sekolah
Semasa kecil diajar mengaji
Bila besar kurang masalah

Di tepi kolah dekat sekolah
Tempat murid-murid membasuh kaki
Bila besar kurang masalah
Jauh dari bersifat dengki

Tempat murid-murid membasuh kaki
Ini cerita zaman dahulu
Jauh dari bersifat dengki
Membuat maksiat terasa malu

Ini cerita zaman dahulu
Zaman sekarang ada pili
Membuat maksiat terasa malu
Kitab agama suka dibeli

Zaman sekarang ada pili
Mudah orang mengambil wudhuk
Kitab agama suka dibeli
Ustaznya pula bersifat tawadhuk

Mudah orang mengambil wudhuk
Inilah budaya Bilal Rasulullah
Ustaznya pula bersifat tawadhuk
Kepada kebenaran saja menyebelah

Inilah budaya Bilal Rasullullah
Nama penuhnya Bilal Bin Rabah
Kepada kebenaran saja menyebelah
Akhirnya kuasa Quarish rebah

Nama penuhnya Bilal Bin Rabah
Dikenali sebagai ahli syurga
Akhirnya kuasa Quarish rebah
Dengan Islam semuanya terjaga

Dikenali sebagai ahli syurga
Rasulullah tentu yang beritahu
Dengan Islam semuanya terjaga
Modal sebenarnya ialah wahyu

Rasulullah tentu yang beritahu
Orang beriman bahagia di akhirat
Modal sebenarnya ialah wahyu
Berjihadlah dengan sepenuh qudrat

Orang beriman bahagia di akhirat
Orang munafik dalam neraka
Berjihadlah dengan sepenuh qudrat
Susah pun masih manis muka

Orang munafik dalam neraka
Seksanya perit dan berkekalan
Susah pun masih manis muka
Inilah mukmin punya jalan


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan