Isnin, 21 September 2015

PANTUN ILMU DI DADA

Dari mana hendak ke mana
Dari kebun mencangkul tanah
Golongan perasuah tetap dihina
Jauh dari sifat mut’mainah

Dari kebun mencangkul tanah
Tanam ubi dan pisang
Jauh dari sifat mut’mainah
Mengamalkan pula budaya songsang

Tanam ubi dan pisang
Mudah tumbuh tanpa baja
Mengamalkan pula budaya songsang
Hendak nama bila bekerja

Mudah tumbuh tanpa baja
Contoh terbaik pokok buluh
Hendak nama bila bekerja
Bila dikritik cepat mengeluh

Contoh terbaik pokok buluh
Ditiup angin daunnya bergoyang
Bila dikritik cepat mengeluh
Dari kroni mengharap kasih sayang

Ditiup angin daunnya bergoyang
Tempat lebah membuat sarang
Dari kroni mengharap kasih sayang
Derma wang dilakukan jarang-jarang

Tempat lebah membuat sarang
Diambil petani semua madunya
Derma wang dilakukan jarang-jarang
Akhirnya rakyat kurang percaya

Diambil petani semua madunya
Bawa ke bandar terus dijual
Akhirnya rakyat kurang percaya
Ketokohannya sekarang mulai disoal

Bawa ke bandar terus dijual
Dapat duit infakkan sebahagiannya
Ketokohannya sekarang mulai disoal
Mungkin negara dalam bahaya

Dapat duit infakkan sebahagiannya
Bakinya buat modal berniaga
Mungkin negara dalam bahaya
Tentu rugi ramai keluarga

Bakinya buat modal berniaga
Buka restoran makanan barat
Tentu rugi ramai keluarga
Harap-harap selamat di akhirat

Buka restoran makanan barat
Makan ala-Thai tersedia ada
Harap-harap selamat di akhirat
Beramal dengan ilmu di dada


HMS ABU BAKAR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan