Isnin, 25 Ogos 2014

PANTUN TUGAS BERSAMA

Manis rasa buah rambutan
Manis juga buah pulasan
Mari kuatkan jentera Pakatan
Mudah pula ditolak Barisan

Manis juga buah pulasan
Makan di rumah bersama keluarga
Mudah pula ditolak Barisan
Nasib rakyat terus dijaga

Makan di rumah bersama keluarga
Elok dilakukan di waktu malam
Nasib rakyat terus dijaga
Selari dengan kehendak Islam

Elok dilakukan di waktu malam
Tentulah selepas solat berjemaah
Selari dengan kehendak Islam
Pemimpin atasan perlu beramanah

Tentulah selepas solat berjemaah
Adakan pula majlis tazkirah
Pemimpin atasan perlu beramanah
Dilucut jawatan tidaklah marah

Adakan pula majlis tazkirah
Mengenai azab di alam akhirat
Dilucut jawatan tidaklah marah
Tanda hati tidak karat

Mengenai azab di alam akhirat
Banyak dicerita dalam Al-Quran
Tanda hati tidak karat
Jadikan pemecatan sebagai pengajaran

Banyak dicerita dalam Al-Quran
Berhikmah Nabi bila mendidik
Jadikan pemecatan sebagai pengajaran
Inilah tanda orang cerdik

Berhikmah Nabi bila mendidik
Ramai jadi pengikut bertaqwa
Inilah tanda orang cerdik
Ke akhirat pula pahala dibawa

Ramai jadi pengikut bertaqwa
Seperti Abu Bakar As-Siddiq
Ke akhirat pula pahala dibawa
Patut diikuti pimpinan cerdik

Seperti Abu Bakar As-Siddiq
Sahabat Nabi yang setia ternama
Patut diikuti pimpinan cerdik
Menyelamatkan Pakatan tugas bersama

Sahabat Nabi yang setia ternama
Sepuluh dijanjikan masuk syurga
Menyelamatkan Pakatan tugas bersama
Kebajikan rakyat Insyaallah dijaga




HMS ABU BAKAR



Tiada ulasan:

Catat Ulasan